Thursday, 9 February 2012

Bacaan ayat al-quran untuk arwah dibolehkan dalam islam



Ahli sunnah wal-jamaah bersependapat bahawa orang-orang yang telah mati, mendapat manfaat dari doa-doa dan sedekah orang hidup untuk mereka.
Imam murtadho al-zabidi menyatakan dalam kitab syarah ihya’ dengan katanya : Berkata imam al-suyuthi dalam kitab syarhus-sudur “dan adapun bacaan Al-Quran atas kubur maka sahabat-sahabat kita telah pun memutuskan pensyariatannya”. Al-Za’farani pula berkata “ Aku sendiri telah menanyakan imam syafi’e tentang membaca Al-Quran di tepi kubur lalu beliau menjawab yang demikian itu tidak mengapa.
Kata imam Al-Nawawi dalam kitab syarhul muhazzab : Disunatkan bagi penziarah kubur membaca apa yang mudah daripada ayat Al-Quran dan mendoakan untuk mereka sesudahnya, ini telah di naskan oleh Imam Syafi’e dan juga telah dipersetujui oleh sahabat-sahabatnya. Dalam tajuk lain Imam Nawawi menambah percakapannya dengan mengatakan “jika mereka dapat khatamkan Al-Quran atas kubur adalah lebih af-dhol” -habis .
Salah seorang guru kepada Al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu yang masyhur dengan gelaran Ibnu Qatthon telah ditanya kepada beliau soalan iaitu : Adakah sampai pahala bacaan Al-Quran itu pada simati ataupun tidak? . lalu soalan itu dijawabnya dalam satu risalah bernama al-qaulu bil ihsan al-amim fil intifa’e al-mayyiti bil quran al-azhim dengan panjang lebar, ringkasan daripada jawapannya adalah:
Khilaf di kalangan ulama’ tentang pahala bacaan untuk simati , sebahagian mereka berpendapat bahawa pahalanya itu tidak sampai kepada simati dan ini adalah masyhur pendapat mazhab syafie dan malik, dan sebahagian lain pula dari kalangan ulama’ berpendapat bahawa pahala sampai kepada mereka dan ini adalah pendirian imam ahmad selepas dia mengeluarkan kenyataan sebelum itu iaitu membaca Al-Quran atas kubur adalah bid’ah, tapi bahkan setelah itu di nuqilkan dari kenyataannya yang mengatakan bahawa sampai pahala kepada simati apa sahaja dari amalan sedekah , solat , haji , puasa , iktikaf , bacaan Al-Quran , zikir dan sebagainya, dan di nuqilkan juga dari Imam Syafie bahawa mayat mendapat manfaat dengan bacaan Al-Quran atas kuburnya.
Pendapat al-qadhi Abi al-Thoiyyib pula bahawa pahala pembaca Al-Quran di kuburan dan mayat adalah seperti orang yang hadir [yakni sebagaimana para hadirin mendapat rahmat dan berkat kerana hadir mendengar bacaan dari qori Al-Quran samalah juga halnya mayat yang dibacakan disampingnya Al-Quran] maka diharapkan baginya rahmat dan keberkatan. Abdul karim al-syalusi berkata: “pembaca Al-Quran jika dia meniatkan bacaannya agar pahala itu dihadiahkan kepada simati maka ianya tak akan sampai jika niatnya itu di pasang sebelum melakukan ibadah tersebut, kerana bacaan Al-Quran adalah di katagorikan dalam ibadah badan maka tidak jatuh pada selainnya, tetapi jika dia membaca Al-Quran terlebih dahulu kemudian dia menghadiahkan pahala bacaan itu pada simati maka itu dikira sampai dan memberi manfaat padanya.
Wallahu a’lam wa ahkam…
Artikel oleh Ustaz Azhar Idrus

Yakin bahawa setiap rezeki didunia datang dari Allah s.w.t


Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-­penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di ta­ngan makhluk.
Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. 
Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.
Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita peroleh atau yang hilang daripada kita semua­nya dikembalikan kepada Allah SWT.
Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan mem­buka rezeki seseorang.
Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.
Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya, membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan sekejap sahaja.
Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang tertarik dan mengubah selera.
Sememangnya ada orang me­ngadu kepada saya bahawa pre­mis perniagaannya tidak dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-­olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.
Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai con­toh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat, setelah puas mencari tidak berjumpa.
Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.
Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang diper­cayai boleh menyekat rezeki, tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.
Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan per­buatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan kea­daan sedemikian berlaku.
gambar sebagai hiasan sahaja

Cerdas seorang yang beriman kepada Allah s.w.t


Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.
Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.



Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama: Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.
Ketiga: Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat: Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
Keenam: Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
“Wahai tuhan ku, aku tak layak kesyurgamu …namun tak pula aku sanggup keNerakamu……..,kami lah hamba yang mengharap belas darimu ……..Ya Allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa……ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia”
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga). – Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.
Artikel oleh: Mohamad Firdaus
Gambar sekadar hiasan

Makan secara sihat ikut Sunnah Nabi


KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.
Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.
Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.
Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang
makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”


Gambar sekadar hiasan

Contohi cara Rasulullah s.a.w jaga kesihatan


BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.
Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpe nyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
Aktif menjaga kebersihan
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
Gemar berjalan kaki
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.
Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah
di hati.
Optimis dan tidak putus asa
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.
Tidak pernah iri hati
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba nyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.
Artikel oleh : Ustaz Zawawi Yusoh


Gambar sekadar hiasan